KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli berkemungkinan kembali aktif ke gelanggang politik selepas berehat sejak 2019.
Menerusi laman Facebook, beberapa penyokong parti itu membuat posting seolah-olah sudah mendapat kata putus daripada bekas ahli Parlimen Pandan itu.
Pengguna Facebook dengan nama akaun Azman Noor berkata, ‘hero’ untuk parti itu sudah kembali.
“Selamat kembali pejuang rakyat. Hero rakyat ini kembali semula bersama PKR,” katanya.
Manakala pengguna dengan nama akaun Aki Rock pula berkata, Rafizi adalah pemimpin yang diperlukan rakyat ketika ini.
“Rakyat dan negara memerlukan Rafizi. Parti memerlukan Rafizi. Walau ada halangan dalaman, namun hakikatnya Rafizi amat diperlukan tidak boleh dinafi.
“Saya sudah cakap, Rafizi akan kembali. Sayang dia kepada parti, rakyat dan negara tidak pernah pudar,” katanya.
Selepas presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi adalah salah seorang individu terawal yang mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rafizi pernah didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Daripada pendedahan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana daripada SCR International Sdn. Bhd.- UTUSAN