PETALING JAYA: Penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal yang ditahan polis semalam akibat menanam ganja di rumahnya di Kota Damansara dipercayai terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hasil ujian saringan awal suspek mendapati dia positif ganja.
Menurut beliau, berdasarkan pengakuan suspek, pokok itu ditanam untuk kegunaan sendiri
“Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan ganja kering di sekitar daerah ini termasuk kemungkinan melalui dalam talian namun kita masih menyiasat dari mana suspek memperolehnya.
“Suspek dipercayai menanam pokok berkenaan dengan membeli sendiri benih dan belajar menanamnya melalui media sosial sejak dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Semalam, kegiatan penyanyi nasyid berusia berusia 47 tahun yang menanam ganja dalam unit kondominium didiaminya dekat Kota Damansara di sini terbongkar apabila diserbu pihak polis, Khamis lalu.
Turut ditemukan 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanamnya sejak dua bulan lalu dan ketulan mampat ganja seberat 214 gram bernilai RM10,700.
Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, polis turut meranpas pelbagai alatan penanaman tumbuhan berkenaan antaranya cecair pemusnah serangga, penyukat suhu, lampu pelbagai jenis dan alat pengudaraan.
Ujarnya, kereta milik suspek iaitu Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM40,700 turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan adalah RM61,600. – UTUSAN