Penyambung pelitup muka tercabut, graduan terima diploma dua kali

Penyambung pelitup muka tercabut, graduan terima diploma dua kali

NOR Alia Munirah Shamsuddin bertuah dapat naik ke pentas konvokesyen sebanyak dua kali bagi menerima diploma selepas kejadian pelitup mukanya tertanggal dan topi tercabut dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-13 Unisza di Kuala Nerus, semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Gara-gara penyambung pelitup muka magnetnya tercabut hingga topi terjatuh, seorang graduan Diploma Kejururawatan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bertuah apabila dapat naik ke pentas konvokesyen dua kali. 

Nor Alia Munirah Shamsuddin, 22, dari Kampung Pulau Rusa di sini berkata, situasi itu sama sekali tidak diduga apabila dijemput Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam untuk kembali semula ke pentas menerima diploma berkenaan. 

Katanya, peluang kedua yang diberikan itu sekali gus membolehkannya memiliki gambar konvokesyen yang sempurna sebagaimana yang diidamkan selama ini.

“Penyambung pelitup muka magnet tercabut ketika nama saya dipanggil untuk menerima diploma dan pada masa itu saya sangat malu dan tidak sempat mengambil topi yang terjatuh kerana lekas mahu turun pentas. 

“Selepas 10 minit kembali ke tempat duduk, pihak pengurusan memaklumkan Naib Canselor mahu saya naik semula menerima diploma sebagai graduan terakhir dan saya sangat berterima kasih atas peluang kedua yang sangat bermakna itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Terdahulu, video yang memaparkan pelitup muka Nor Alia Munirah tertanggal hingga topinya terjatuh ketika di pentas konvokesyen tular di laman sosial TikTok hingga timbul dakwaan kononnya graduan itu gementar namanya dipanggil. 

Nor Alia Munirah adalah graduan terakhir yang menerima diplomanya dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-13 Unisza yang tamat petang semalam. 

Lebih istimewa, jururawat klinik swasta itu turut berpeluang berjalan seiring dengan Fadzli selepas majlis tamat di samping bergambar bersama. 

Dalam pada itu, Nor Alia Munirah berkata, dia hanya mengetahui videonya tular pagi ini selepas dikongsikan rakan-rakan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya