PETALING JAYA: Seorang penuntut kolej swasta warganegara Jepun didenda maksimum RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membuat laporan polis palsu bahawa dia disamun dan dirogol sekumpulan lelaki Afrika.
Majistret Muhamad Iskandar Zainol mendenda Ageha Matsuzaki, 20, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Inggeris.
Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Ageha didakwa memberikan maklumat palsu secara bertulis kepada polis sehingga menyebabkan pegawai penyiasat melakukan siasatan.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan di sini pukul 12.30 tengah hari pada 2 Februari lalu.
Penuntut itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan yang dilakukan telah memberinya pengajaran.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Wafi Husain memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh yang membuat laporan palsu menyusahkan banyak pihak terutama polis.
“Tertuduh hanya mengaku membuat laporan polis palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat menjalankan siasatan,” kata Mohamad Wafi.
Mengikut fakta kes, dalam laporan polis itu tertuduh menyatakan ketika berjalan di hadapan sebuah apartment pukul 8 malam, 1 Februari lalu, dia dihimpit di bahagian tepi oleh sebuah kereta yang tiba-tiba datang dari arah belakang.
Laporan itu menyebut, seorang daripada beberapa lelaki warganegara Afrika kemudian keluar daripada kenderan dan memaksanya mengikut mereka.
Gadis itu menyatakan, dia dipukul di bahagian kepala, perut dan belakang badan namun tidak dapat mengecam wajah mereka kerana keadaan gelap.
Menurut laporan itu, salah seorang mengacukan pisau manakala beberapa lelaki Afrika lain memukul dan merogolnya secara bergilir-gilir selain mengambil kad kredit (Japanese Visa) dan wang RM100.
Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan polis mendapati laporan itu tidak benar dan tertuduh turut mengaku memberikan laporan palsu kerana tiada sebarang bukti dikemukakan berhubung kejadian rogol.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat wanita berusia 20 tahun itu pada 1 Februari lalu.
Ekoran laporan polis itu, pegawai penyiasat kemudian menjalankan siasatan dan hasil laporan doktor perubatan menunjukkan tiada kesan rogol berlaku terhadapnya.
Pada masa sama, wanita itu turut dibawa ke lokasi kejadian namun gagal menunjukkan tempat dan bagaimana kejadian berlaku, malahan gagal mengcam wajah kesemua suspek yang dikatakan terbabit dalam kejadian itu. – UTUSAN