ALOR SETAR: Perniagaan sosial yang menjadi teras pengajian dalam kalangan penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini dibuktikan malah dipraktikkan melalui program khidmat masyarakat di Baling dan Sik.
Menurut Naib Canselor AIU, Prof. Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha AIU mendedahkan penuntut dalam bidang keusahawanan dengan membantu penduduk kurang berkemampuan di daerah tersebut.
“Kita (AIU) mendekati masyarakat di Baling dan Sik yang merupakan kawasan yang paling tinggi kadar kemiskinan di Kedah. Usaha murni ini untuk membantu penduduk terlibat dalam perniagaan secara kecil-kecilan, selain cara mempromosikan perniagaan mereka,” katanya di sini hari ini.
Program berkenaan yang dinamakan sebagai Kluster Sifar Kemiskinan turut menerima kunjungan Canselor AIU, Prof. Muhammad Yunus dan ahli Lembaga Pengelola AIU, Sharifah Sofia Syed Mokhtar diiringi oleh ketua projek, Dr. Suraya Hanim Mokhtar.
Selain itu, penuntut AIU juga mengadakan kelas tuisyen percuma di dua sekolah menengah di Sik yang melibatkan lebih 300 pelajar.
Tambah beliau, program mempromosikan perniagaan dalam kalangan anggota masyarakat itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga meningkatkan jati diri penuntut terlibat.
Menurutnya, setakat ini program khidmat masyarakat itu berjaya membantu penduduk memasarkan produk hiliran mereka secara komersial.
“Penduduk dari segi pemasaran tidak begitu baik dan penuntut kita ada kemahiran. Mereka hanya jual kerepek dan madu kelulut kepada penduduk kampung malah ketika pandemik mereka tidak mampu jual. Penuntut bantu komersialkan produk ini malah buat laman web dan jual secara online. Kita berharap dari Baling dan Sik, kita akan ke daerah lain pula,” katanya.
Menurutnya, pihak AIU tidak mahu penuntut semata-mata menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dalam kuliah.
“Kita tak mahu penuntut lupa tentang masyarakat. Ini benda yang kita terapkan kepada penuntut AIU. Pendekatan kita berbeza. Kita ada kuliah dalam kelas tetapi proses pembelajaran tidak terhenti di situ. Penuntut ke Baling untuk menghayati kesusahan dan balik mereka ada makmal untuk berbincang bagaimana untuk mengenali masalah dan selesaikannya,” jelasnya. – UTUSAN