KUALA PILAH: Seorang penjual kuih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Saimee Md Said, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail dan mohon untuk dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tapak pembinaan di Rembang Panas, Kuala Pilah pada pukul 3.51 petang, 4 Disember tahun lalu.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta untuk dibenarkan jaminan berikutan perlu menjaga ibunya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan untuk tidak mendekati mangsa dan saksi sebelum menetapkan 23 Mei ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.- UTUSAN