KOTA KINABALU: Setelah hampir 20 tahun tiada semakan bagi gaji penjawat awam negeri, UMNO menggesa kerajaan negeri supaya meningkatkan kadar gaji minimum di Sabah.
Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, Sabah perlu menetapkan kadar gaji minimum seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar gaji minimum dilaksanakan di semua peringkat tidak kira pekerja tetap mahupun sambilan.
Beliau berkata, biarpun gaji minimum sebelum ini ditetapkan pada kadar RM1,200 sebulan namun, masih ada pekerja harian yang menerima gaji pokok pada kadar yang lebih rendah walaupun sudah berkhidmat kira-kira 20 tahun.
“Misalnya, pekerja harian di sebuah agensi di bawah Jabatan Pertanian Sabah menerima gaji kira-kira RM900 sebulan dan kadar itu tidak pernah disemak semula sejak 2002.
“Walaupun mereka hanya bergaji harian namun, tidak masuk akal kadar gaji yang dibayar tidak berubah sejak 20 tahun lalu.
“Justeru, saya melihat ada keperluan untuk kerajaan melakukan semakan semula kadar gaji penjawat awam di Sabah bagi membantu golongan yang bergaji harian sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Tawau itu berkata, jika kadar gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 namun, agak menghairankan apabila kadar gaji penjawat awam berstatus sambilan tidak dinaikkan dan tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu.
“Jika kerajaan sebelum ini terlepas pandang sehingga berlaku keciciran maka, saya sebagai pemimpin menyuarakan perkara ini agar tindakan boleh diambil supaya kebajikan penjawat awam berstatus sambilan turut terbela.
“Mereka telah berkhidmat selama 20 tahun dan selayaknya menerima kenaikan gaji dan bukannya diabaikan begitu sahaja. Mereka perlu memperoleh kenaikan gaji untuk menampung keluarga. Kenaikan harga barangan di pasaran akan menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Ghazalie berkata, berdasarkan gambar surat yang diperoleh, salah seorang pekerja di sebuah Stesen Penyelidikan Pertanian di Tawau didapati menerima gaji harian sebanyak RM44 sejak Januari 2002. Kadar itu tidak pernah dinaikkan walaupun sudah 20 tahun berkhidmat. – UTUSAN