KUANTAN: Seorang penjawat awam maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Tanjung Lumpur, dekat sini, kira-kira pukul 7.50 pagi ini.
Mangsa yang meninggal dunia, Ahmad Syaheer Yahaya, 38, berasal dari Taman Temerloh Jaya, Temerloh, dekat sini.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa yang merupakan penolong pegawai daerah Pekan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian itu mangsa dalam perjalanan dari bandar Kuantan menghala ke arah Tanjung Lumpur dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi. Semasa berada di lokasi kejadian di Jalan Tanjung Lumpur, berhadapan dengan Kedai Indahreka Perabot One Stop Centre, dekat sini, tiba-tiba kenderaan Myvi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki lalun bertentangan.
“Disebabkan itu, Myvi terbabit telah bertembung dengan dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu dan Proton Saga yang tidak sempat memberhentikan kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut iaitu pemandu Isuzu, Mohamad Nor Iman Saha, 28, bersama anaknya, Nur Iffat Amni, 4 tahun dan pemandu Proton Saga, Low Li Hoon, berusia 57 tahun.
Kamarulzaman berkata, kenderaan mangsa telah dilanggar kenderaan yang datang dari arah Tanjung Lumpur menuju ke bandar Kuantan.
Katanya, impak daripada kemalangan itu dipercayai menyebabkan mangsa meninggal dunia dilokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di situ. Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN