SHAH ALAM: Seorang lelaki menarik nafas lega selepas hanya dikenakan penjara 13 tahun berbanding hukuman mati atas tuduhan membunuh yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abd. Halim Aman terhadap Mohamad Shah Izwan Mohamad Zaki, 26, yang meminda pertuduhan daripada kesalahan membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap kekasih ibunya, iaitu seorang warga Pakistan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Shah Izwan yang merupakan seorang peniaga kedai makan didakwa melakukan bunuh ke atas Muhammad Kashif antara pukul 4 hingga 5.15 pagi di Taman Desa Serdang, Seri Kembangan pada 28 Mac 2019.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Kes mula dibicara pada 7 Disember 2020 yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Zuraini Abdul Razak sementara tertuduh diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.
Seramai 20 orang saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung sehingga 15 Februari lalu.
Mahkamah kemudian mendapati pergaduhan terjadi ketika ketegangan berlaku dan tindakan tertuduh tidak boleh terjumlah kepada kes bunuh.
Justeru, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.
Abd. Halim dalam alasan penghakimannya memaklumkan keterangan menunjukkan bahawa tiada perancangan awal pada pihak tertuduh untuk melakukan pergaduhan, apatah lagi melakukan pembunuhan dan punca kejadian dikatakan bermula daripada bibit-bibit provokasi.
“Peristiwa terjadi sebenarnya berpunca daripada perbuatan si mati sendiri yang tidak menghormati adat susila serta budaya ketimuran masyarakat disini. Dengan tidak terbendungnya perasaan amarah disertai dengan apa yang dilihat dihadapan matanya, telah membawa kepada insiden kes ini.
“Tidak dapat dinafikan, apa yang dialami oleh tertuduh ketika dan saat itu, pasti akan melakukan sesuatu, demi maruah keluarganya,” katanya.
Malah, beliau menambah tiada elemen membunuh dengan niat ditemukan berdasarkan keterangan yang telah disampaikan dan menyatakan tidak wajar dikatakan pembunuhan itu sesuatu dirancang.
“Tiada elemen niat di sini. Jika dilihat kepada tindak tanduk tertuduh, jelas sekali menunjukkan bahawa beliau sememangnya tidak mempunyai mens rea (niat) untuk membunuh si mati.
“Antaranya, tertuduhlah yang telah menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian tersebut, dia jugalah yang menunggu di bawah rumah ibunya menanti kehadiran polis dan dia jugalah yang melambai-lambai memanggil polis semasa polis tiba.
“Apa yang dilakukan oleh tertuduh adalah semata-mata untuk menjaga maruah diri dan keluarga serta demi keselamatan adik-adiknya,” jelasnya. – UTUSAN