JOHOR BAHRU: Kotor dan menjijikkan. Itu yang boleh menggambarkan tindakan peniaga jalanan menyorok bekalan buah jeruk di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak diambil tindakan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden M. Kumarasan berkata, perkara itu dikesan ketika menjalankan Op Khas Penjaja Jalanan kira-kira pukul 2.30 petang di sekitar Bandar Baru Uda, Tampoi semalam.
Beliau berkata, operasi tersebut dijalankan ekoran aduan yang diterima masyarakat setempat berkenaan kegiatan penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan bandar raya ini.
Katanya, berdasarkan statistik, terdapat 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan di dalam negeri ini dan tumpuan utama adalah di persimpangan lampu isyarat di laluan-laluan utama.
“Hasil operasi yang dijalankan mendapati buah jeruk yang dijual disimpan dan disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi menggelak tindakan diambil oleh pihak penguat kuasa.
“Ini sikap yang tidak bertanggungjawab dan mengambil remeh tentang isu kebersihan makanan dan risiko penyakit bahaya disebarkan pencemaran.
“Sikap individu yang mencari jalan mudah meraih simpati pengguna jalan raya dengan mengajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang lain khususnya kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, operasi itu diketuai Asisten Superintenden Mohd. Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis bagi menjalankan pemeriksaan berkala dalam menangani isu penjaja jalanan yang tiada kesudahan.
Katanya, operasi itu pernah dijalankan secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini, namun semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Tegasnya, aktiviti menjaja di jalan awam merupakan kesalahan yang jelas melanggar peraturan dan undang-undang yang boleh diambil tindakan dibawah Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) LN 166/59 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
“Di bawah undang-undang kecil PBT juga jelas ia melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja,” jelasnya.
Katanya, aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku seperti kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat. – UTUSAN