PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Puchong, dekat sini ,Selasa lalu.
Dalam tiga serbuan serentak pada pukul 10 malam itu, empat lelaki ditahan termasuk seorang pengusaha stesen hasil risikan sejak beberapa hari lalu ke atas stesen minyak berkenaan.
Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, dua suspek warga tempatan berusia antara 30 dan 50-an itu mengaku sebagai pemandu lori dan pengurus syarikat stesen minyak berkenaan manakala dua lagi suspek yang juga warga asing berusia 30-an mengaku sebagai pemandu lori serta pekerja.
Katanya, ketika serbuan, terdapat dua buah lori sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di pam berasingan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah lori bermuatan 24 tan mendapati, pemandu lori warga tempatan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel melibatkan enam buah tong drum di ruangan muatan lori terbabit yang mengandungi diesel.
“Bagi pemeriksaan ke atas sebuah lagi lori berkapasiti lima tan mendapati, pemandu lori dan seorang kelindan kedua-duanya warga asing juga gagal mengemukakan sebarang dokumen di bawah Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, sebanyak enam buah tong drum ditemukan di ruangan muatan lori terbabit yang mengandungi diesel, malah pengusaha stesen minyak terbabit disiasat mengikut Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal/
Katanya, susulan tiga serbuan itu, KPDNHEP menyita keseluruhan sejumlah 2,220 liter minyak diesel, dua buah lori, satu set dekoder rakaman litar tertutup (CCTV) serta invois dan resit jualan dan belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang melibatkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM169,644. – UTUSAN