pengusaha lori

Pengusaha lori rayu bantuan ekoran prosedur baharu ke Singapura

NOVAN Hing bersama ahli Persatuan Pengusaha Lori Johor memohon kerajaan membantu mereka berhubung pelaksanaan prosedur baharu memasuki Singapura dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Pengusaha Lori Johor berharap kerajaan dapat mewujudkan pusat pemeriksaan saringan Covid-19 RT-PCR di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura bagi memudahkan proses pelaksanaan ujian berkenaan khusus buat pemandu lori rentas sempadan.

Pengerusinya, Novan Hing berkata, gesaan itu ekoran satu kenyataan berhubung pelaksanaan ujian berkenaan bagi semua pemandu lori sebelum memasuki negara berkenaan bermula 24 Mac ini yang dikatakan hasil perbincangan kedua-dua negara.

Katanya, mereka hanya dimaklumkan berhubung perkara tersebut minggu lalu namun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia dikeluarkan mengenainya.

“Sebelum ini, semua pemandu lori yang memasuki Singapura perlu membuat PCR apabila memasuki negara berkenaan dengan kos tersebut ditanggung kerajaan Singapura.

“Namun arahan terbaharu yang kami terima adalah kini semua pemandu lori perlu membuat sendiri ujian berkenaan dengan setiap ujian terpakai hanya untuk tempoh dua hari.

“Ini bermakna, pelaksanaan prosedur berkenaan bukan sahaja akan meningkat kos pengusaha lori, tetapi juga mengganggu pergerakan lori kerana mereka perlu pergi ke klinik atau hospital untuk membuat ujian berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Novan, pelaksanaan prosedur baharu itu akan turut memberi kesan kepada pelanggan apabila pertambahan kos terhadap pengusaha lori berlaku.

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat membantu memudahkan pelaksanaan prosedur baharu ini iaitu dengan membuka pusat pelaksanaan ujian saringan di kedua-dua sempadan iaitu di Tambak Johor dan di LinKedua.

“Selain itu, kita juga berharap kos pelaksanaan ujian berkenaan akan dapat diserap pihak kerajaan bagi memastikan tiada beban tambahan dikenakan terhadap pengusaha lori dan juga pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Novan turut berharap kerajaan Singapura menangguhkan pelaksanaan prosedur berkenaan kerana pihaknya memerlukan masa untuk memastikan semua persiapan dapat dibuat dengan lancar.

Sementara itu, seorang pemandu lori, Mohd. Fadhli Daud, 50, memberitahu, prosedur baharu yang menyaksikan pemandu perlu ke klinik untuk membuat ujian saringan akan mengganggu kelancaran penghantaran barangan ke negara berkenaan.

“Ini kerana kebiasaannya pemandu lori masuk ke Singapura awal pagi sebelum klinik dibuka, jadi proses membuat ujian itu sendiri akan mengganggu jadual perjalanan lori.

“Oleh itu sebaiknya kerajaan sediakan tempat ujian di kedua-dua pintu sempadan untung memudahkan proses itu dilaksana, selain turut membantu menangguhkan kos berkenaan,” katanya yang sudah menjadi pemandu lori rentas sempadan sejak 2005.

Tambahnya, anggaran kos tambahan bagi setiap pemandu adalah sekitar RM1,000 sebulan apabila mereka diperlukan melakukan ujian berkenaan setiap tiga kali seminggu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN