Pengiktirafan tertinggi orang muda - Utusan Malaysia

Pengiktirafan tertinggi orang muda

MOHD. Fared Mohd. Khalid dan Marina Ibrahim menyuarakan mengenai kepimpinan Onn Hafiz Ghazi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19 merupakan pengiktirafan tertinggi kepada orang muda apabila diperkenan Istana Johor yang secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada golongan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, mereka menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memiliki budi bicara selaras peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

“Kita percaya kelayakan dan ketokohan Menteri Besar Johor ke-19 ini dengan rekod perkhidmatan dan salasilahnya diyakini akan memacu negeri Johor ke arah lebih baik dengan tenaga baharu.

“Sudah pasti pemilihan Datuk Onn Hafiz memberi nafas baharu kepada orang muda dan diiktiraf istana serta penerimaan umum dalam kalangan masyarakat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Onn Hafiz sah ditauliahkan sebagai Menteri Besar Johor dalam upacara mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini.

Pelantikan ADUN Machap itu sekali gus mengetepikan tanda tanya soal pelantikan Menteri Besar baharu selepas dikatakan ADUN Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tidak dilantik semula ke jawatan itu meskipun diumumkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon tunggal.

Dalam pada itu, Mohd. Fared berkata, penghormatan yang amat tinggi juga perlu diberikan kepada Hasni setelah penerimaan beliau sendiri terhadap perkenan Sultan Johor yang memilih Onn Hafiz sebagai Menteri Besar.

“Itu satu kayu ukur kerana tuan punya badan (Hasni) berjiwa besar, keterbukaan yang sangat luas dan tak perlu timbul lagi sebarang isu dan sebaliknya beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang mentadbir negeri Johor.

“Apabila Onn Hafiz kata akan rujuk kepada Hasni, itu pula rasa rendah diri yang sangat besar maknanya daripada seorang Menteri Besar kepada bekas Menteri Besar kerana amalan itu adalah adab yang sangat elok dan melambangkan sifat rendah diri yang sangat mulia,” katanya.

Tambah beliau, dalam keadaan itu juga, ia menepis sebarang keraguan bahawa kerajaan Johor hanya ditadbir kelompok muda sahaja tetapi sebaliknya akan disulami nasihat dan pandangan daripada golongan berpengalaman.

Sementara itu, ADUN Skudai daripada DAP, Marina Ibrahim berharap, Onn Hafiz akan meneruskan konsep politik matang yang diamalkan Hasni sewaktu pemerintahannya dahulu apabila tidak membezakan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

“Bagi saya ini satu peluang kepada orang muda, saya dahulu baik juga dengan Hasni kerana beliau matang dalam berpolitik. Saya harap Onn juga lebih berfikiran terbuka serta matang dan tunjukkan orang muda boleh pimpin Johor lebih baik.

“Masa untuk berpolitik sudah tamat jadi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, mandat diberi rakyat itu tidak seharusnya dipolitikkan dan kembali tumpu isu-isu kebajikan rakyat di mana-mana sahaja yang perlu dipastikan terjaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya