PETALING JAYA: Sebanyak empat negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu melibatkan penggunaan katil di ICU bagi Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.
Bagi katil bukan ICU, beliau berkata, sebanyak lapan negeri membabitkan Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak menunjukkan peratusan penggunan melebihi 50 peratus.
“Katil kes kritikal atau ICU, empat negeri iaitu Putrajaya (100 peratus), Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (55 peratus), dan Selangor (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.
“Katil bukan ICU, lapan negeri iaitu Putrajaya (80 peratus), Selangor (73 peratus), Kuala Lumpur (61 peratus), Terengganu (57 peratus), Sarawak (55 peratus), Melaka (54 peratus), Negeri Sembilan (54 peratus), dan Perak (53 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.
“Katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus dan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 188 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN