SELAYANG: Seorang pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya berhubung isu bayaran sewa rumah.
M. Dhurai Singham, 48, mengaku menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan cara menumbuk dan menendang mangsa selepas berang apabila wanita itu bertanyakan mengenai wang sewa rumah.
Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap semalam dan dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 42 tahun, di sebuah rumah di Kampung Sungai Bakau, Rawang, pukul 5.03 petang pada 2 Mac lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Seksyen itu dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana berpendapatan rendah selain perlu menyara keluarga.
Jelas tertuduh, dia hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan loji rawatan air di sebuah taman teknologi dan bergaji kecil serta perlu menyara tiga orang anak.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh bertindak menumbuk pengadu (isteri) di bahagian belakang kepala dan menendang mangsa hingga terjatuh selepas isterinya bertanya mengenai wang sewa rumah.
Wanita itu kemudian menghubungi pihak polis manakala suaminya beredar dari rumah tersebut. Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan ringan. – UTUSAN