JOHOR BAHRU: Polis akan mengenal pasti penganjur dan individu yang terlibat dalam penganjuran sebuah konsert di Ayer Hitam, Batu Pahat baru-baru ini yang mendorong sekumpulan individu asyik berjoget dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan akan dijalankan secara terperinci dan seterusnya mengambil tindakan terhadap mereka mengikut lunas undang-undang.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penganjuran konsert tersebut setakat ini.
“Perkara seumpama itu tidak harus berlaku. Tidak boleh berpesta, ini akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan menjalankan siasatan serta ambil tindakan kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh SOP jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau ditanya sekiranya polis menerima laporan berhubung video berdurasi 29 minit yang tular di media sosial menunjukkan aksi sekumpulan pengunjung berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan fizikal.
Difahamkan, video yang tular malam tadi menunjukkan sekumpulan pengunjung di Jelajah Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, Polis Johor telah meluluskan sebanyak 1,411 permit bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon sehingga kini dengan enam permohonan ditolak.
Beliau berkata, antara faktor permohonan itu ditolak adalah bagi mengelak berlaku perselisihan kerana bersebelahan dengan ceramah lain dan pada masa sama mahu diadakan di kawasan tidak sesuai.
“Kita juga akan hantar pasukan pemantau ke lokasi ceramah bagi memastikan tidak ada perkara tidak diingini berlaku. Setakat ini, belum ada sebarang insiden kekecohan yang berlaku di mana-mana ceramah dan berharap petugas parti dapat meneruskan kempen secara berhemah,” katanya.
Kata beliau, seramai 806 pegawai dan anggota siasatan jenayah ditugaskan di lapangan untuk menjaga keselamatan bagi memastikan kelancaran proses demokrasi terbabit sepanjang PRN Johor berjalan.
Tambah Kamarul Zaman, sejak penamaan calon hingga semalam, sebanyak 152 laporan polis diterima pihaknya dengan 10 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN