BUTTERWORTH: Penduduk Telok Ayer Tawar di sini, kecewa apabila permohonan mendapatkan kemudahan asas seperti pejabat pos, bank dan klinik kesihatan di kawasan itu tidak dipedulikan.
Wakil penduduk, Hasni Saad, 57, berkata, pelbagai usaha dilakukan sejak 2016 seperti mengadakan beberapa sesi sidang akhbar, perjumpaan bersama wakil rakyat tempatan tetapi belum menampakkan hasil.
“Kawasan Telok Ayer Tawar sedang membangun dari segi pertambahan penduduk dan kewujudan bangunan-bangunan komersial tetapi masih ketinggalan dari segi kemudahan tersebut.
“Dengan adanya kemudahan perkhidmatan seperti pejabat pos, bank dan klinik kesihatan sudah tentu memudahkan urusan penduduk setempat dalam menyelesaikan hal-hal berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Dianggarkan ketika ini terdapat kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Telok Ayer Tawar dengan jumlah populasi semakin berkembang berikutan pembukaan kawasan kejiranan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut Hasni, pihaknya turut mengambil kira situasi penduduk setempat yang ramai golongan warga emas yang terpaksa berulang-alik ke pejabat pos, bank mahupun klinik kesihatan dekat Bagan Luar iaitu terletak hampir 10 kilometer dari Telok Ayer Tawar.
“Cuba bayangkan kalau orang yang ada masalah pengangkutan nak kena ulang-alik ke Bagan Luar, sudah tentu memberi beban kepada mereka dari segi kos pengangkutan dan lain-lain,” jelasnya.
Tambahnya, kemudahan asas itu bukan untuk kepentingan mana-mana pihak sebaliknya bagi kesenangan dan kesejahteraan penduduk dalam memastikan segala urusan dapat dilaksanakan secara harmoni.
“Apa yang kami mahukan adalah kemudahan yang memudahkan rakyat. Harap kali ini pihak berwajib dengar suara kami dan tindakan sewajarnya dapat diambil segera sebab sudah cukup lama kami tunggu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Telok Ayer Tawar mendapati, kawasan tersebut hanya mempunyai dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak selain kaunter pelbagai fungsi yang tidak beroperasi disebabkan mempunyai masalah teknikal. – UTUSAN