PETALING JAYA: Penduduk Taman Bukit Permai 2, di Ampang dekat sini bimbang jika berlakunya tanah runtuh lagi sekiranya hujan lebat melanda.
Man Leong Dias, 60, berkata, kejadian tanah runtuh itu adalah insiden kali pertama di kawasan berkenaan.
“Ini kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan ini.
“Saya harap hari ini tidak hujan kerana (kami) penduduk khuatir tanah runtuh akan berlaku lagi,“ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata Leong Dias, ketika kejadian pukul 5 petang semalam, dia menyaksikan bagaimana tanah turun bukit dengan laju.
Menurutnya, sebalum itu dia baru sampai di rumahnya pukul 5.45 petang sebelum mendengar dentuman kuat lima minit kemudian.
“Saya dengar bunyi kuat beberapa kali sebelum nampak pokok turut tumbang. Kejadian itu menimbulkan panik penduduk kerana situasi ketika itu menakutkan,” kata Leong Dias yang sudah mendiami di kawasan itu 12 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Lee Wel Hua, 55, berkata, semua penghuni diarahkan keluar mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian terbabit.
“Mereka yang tinggal berhampiran boleh mengambil barang hari ini. Arahan mengosongkan kediaman itu dikeluarkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan semua pihak,” jelasnya.
Ishak Junos, 54, berkata, pihak bomba amat cepat bertindak apabila tiba di lokasi kejadian kurang daripada 10 minit.
Katanya, panggilan kecemasan dibuat penduduk pada pukul 5.50 petang sebelum sepasukan anggota bomba tiba untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Saya sudah tinggal di sini, 20 tahun lalu dan tidak pernah berlaku tanah runtuh sebegini. Nasib bomba cepat sampai ke lokasi.
“Saya pun sudah pesan kawan yang tinggal di Taman Bukit Permai 1 untuk berjaga-jaga kerana kawasan kejadian dekat dengan kediaman mereka,” katanya. – UTUSAN