LANGKAWI: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan penduduk di pulau peranginan itu supaya tidak menjual tanah mereka walaupun ditawar pada harga yang tinggi.
Beliau berkata, terdapat penduduk di pulau ini sanggup menjual tanah mereka untuk mendapatkan hasil dengan mudah, selain ingin menjadi seorang jutawan.
Menurutnya, penduduk terbabit sepatutnya mengusahakan tanah mereka dengan kerja-kerja pertanian dan penternakan untuk mendapatkan hasil bagi menyara keluarga.
“Tanah kita kalau boleh kita usahakan dengan tanaman dan ternakan, kita boleh buat macam-macam untuk mendapatkan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada ahli kariah Masjid Nur Al-Naim, Jalan Makam Mahsuri di Langkawi, hari ini.
Selain itu, Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pada masa ini, harga tanah di Langkawi didapati semakin mahal sehingga mencapai RM5 satu kaki persegi.
“Dulu harga tanah serelong RM100 tetapi sekarang dijual pada harga RM5 satu kaki persegi,” katanya.
Jelasnya, harga tanah melambung tinggi selepas Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai kira-kira 35 tahun dulu.
Dalam pada itu, menurutnya, beliau bimbang penduduk di pulau ini selepas ini tidak mempunyai tanah lagi kerana kesemuanya dijual.
“Kalau habis dia (penduduk) jual tanah, dia nak duduk di mana? Duduk dalam laut, duduk dalam hutan,” katanya.- UTUSAN