KUALA KRAI: Menakutkan, namun, mereka masih memberanikan diri meniti batang pokok pinang untuk menyeberangi Sungai Temalir selebar 200 meter yang memisahkan Kampung Temalir dengan Kampung Temalir Lama, di sini sejak bulan lalu.
Difahamkan, kehidupan lebih 2,000 penduduk di situ sukar sejak jambatan besi kekal berusia 20 tahun yang menghubungkan kedua-dua kawasan dihanyutkan arus deras ketika Bah Kuning pada 2014.
Sejak itu, mereka sudah beberapa kali bergotong-royong membuat jambatan sendiri menggunakan kayu-kayan tetapi binaan tersebut runtuh pula setiap kali musim tengkujuh melanda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mokhtar Muhamed, 52, berkata, selepas jambatan kayu runtuh lagi ketika banjir bulan lepas, dia bersama beberapa belia kampung membina titian ringkas menggunakan tiga batang pokok pinang.
“Jambatan besi yang asal tidak pernah dibaiki sejak runtuh pada 2014, memaksa kami membina sendiri jambatan menggunakan batang pokok supaya mudah untuk berulang alik dengan kenderaan.
“Sejak 2014 hingga sekarang, sudah beberapa kali kami bergotong-royong bina jambatan kayu ini. Sekali lagi, jambatan yang kami bina dihanyutkan arus deras akibat banjir luar jangka, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Mokhtar, penduduk merancang untuk bergotong-royong membina jambatan kayu yang lebih kukuh sekali lagi supaya kereta dan motosikal dapat melaluinya namun mereka perlu mengumpul dana kira-kira RM2,000 untuk membeli kayu.
Ibu tunggal, Zatul Atirah Mohd. Hanafiah, 42, pula berkata, meskipun menakutkan, dia tetap menggunakan titi batang kelapa tersebut untuk urusan harian seperti membeli barang dapur atau menziarahi kubur arwah suaminya.
“Penduduk berulang-alik menggunakan titi batang pinang ini untuk keluar membeli barang dapur di kedai runcit di seberang sana manakala pelajar pula menggunakannya untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Temalir.
“Sebenarnya ada jalan lain, iaitu melalui Kampung Mengkebang untuk menyeberangi Sungai Temalir, namun jika guna jalan itu, kami mengambil masa lebih panjang sehingga 45 minit untuk tiba ke destinasi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Ahmad, 40-an, berharap ada pihak sudi membina semula jambatan besi yang rosak sejak sekian lama atau sekurang-kurangnya menyalurkan dana bagi membolehkan mereka membeli kayu untuk membina jambatan sementara.
“Setakat ini belum ada kejadian tidak diingini namun sampai bila saya nak biarkan anak isteri bergadai nyawa meniti batang pinang menyeberang Sungai Temalir yang dalam dan berarus deras,” katanya.-UTUSAN