SUNGAI PETANI: Seramai lebih 1,000 nelayan dari pangkalan Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai di sini terjejas pendapatan akibat aktiviti pencerobohan bot pukat tunda dan rawa sorong haram di perairan Kuala Muda serta Yan di sini.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, aktiviti pencerobohan bot tersebut termasuk penggunaan bubu naga di perairan itu menyebabkan pendapatan nelayan berkurangan daripada RM200 seorang kepada RM30 hingga RM40 seorang setiap kali ke laut.
Beliau berkata, selain itu, golongan itu juga mengalami kerugian hampir puluhan ribu ringgit kerana alat tangkapan musnah dilanggar oleh bot-bot tersebut.
Menurut beliau, bot-bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai di sini dipercayai berpengkalan di Kuala Kedah, manakala nelayan bot pukat rawa sorong dan bubu naga pula dipercayai dari daerah Yan.
“Aktiviti haram ini sering dilakukan pada waktu malam iaitu sekitar pukul 12 tengah malam sehingga pukul 6 pagi di kawasan antara 100 meter hingga 4 kilometer (km) dari pantai. Kawasan tumpuan operasi bot-bot tersebut ialah perairan Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, nelayan-nelayan pantai yang terlibat dan CAP sendiri telah beberapa kali mengemukakan masalah ini kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan berkesan yang diambil.
“Kita menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) supaya campur tangan dan menjalankan siasatan berkaitan isu ini. Selain itu, Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertanggungjawab membanteras aktiviti haram ini perlu menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang nelayan, Amin Abdul Hamid, 43, berkata, benih ikan, udang, ketam dan lain-lain musnah kesan aktiviti pencerobohan tersebut
“Nelayan di perairan ini mungkin akan terputus sumber mata pencarian tidak lama lagi sekirannya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan,” ujarnya.
Seorang lagi nelayan, Mukhlis Mansor, 36, pula berkata, dia kecewa kerana pihak berkuasa gagal mengambil tindakan bagi membanteras aktiviti haram tersebut.
Menurutnya, banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa namun masalah ini masih lagi berlaku.
“Saya hairan setiap kali aduan dibuat, nelayan yang menjalankan aktiviti haram ini akan menghentikan operasi mereka serta merta, mungkin disebabkan berlaku kebocoran maklumat pengadu,” ujarnya. – UTUSAN