Pendakwa pinda pertuduhan terhadap Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Pendakwa pinda pertuduhan terhadap Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi sambung bicara kesnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan kes pecah amanah RM1 juta dan penyalahgunakan wang RM120,000 milik sebuah parti politik yang dihadapinya.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Muar tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan ketika kes disebut di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sewaktu mengemukakan pertuduhan pindaan berkata, tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Mahkamah kemudian mengekalkan perbicaraan selama 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai ini.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah pertuduhan pindaan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Ahli politik itu selaku Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada yang diamanahkan dengan penguasaan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan kedua menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya