IPOH: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa aktiviti pendakian di Puncak Jelapang sejak Jumaat lalu, ditemukan dua malim gunung dalam keadaan tidak sedarkan diri hari ini.
Lau Sam, 84, dijumpai di dalam sungai pada ketinggian 550 meter dari aras laut pada pukul 2.14 petang.
Komander Operasi, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan warga emas itu oleh malim gunung pada pukul 2.30 petang.
Katanya, sembilan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi untuk membawa turun mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sungai. Operasi digerakkan segera bagi membawa mangsa turun.
“Usaha membawa turun mangsa mungkin mengambil masa hingga tujuh jam ekoran faktor geografi hutan itu dengan laluan sempit, curam dan berbukit,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Menerusi laporan media pada 12 Mac lalu, Lau Sam disedari hilang oleh ahli kumpulannya sekitar pukul 6.30 petang setelah didapati tidak tiba di kaki bukit.
Mangsa yang menyertai pendakian bersama tujuh rakannya itu merupakan seorang yang mahir dalam aktiviti tersebut dan telah biasa datang ke lokasi berkenaan.
Kali terakhir mangsa dilihat saksi adalah pada ketinggian 285 meter dari aras laut ketika sedang menuruni bukit. – UTUSAN