Pendaki Gunung Tahan meninggal dunia, dipercayai cirit-birit, hilang tenaga - Utusan Malaysia

Pendaki Gunung Tahan meninggal dunia, dipercayai cirit-birit, hilang tenaga

MAYAT pendaki Gunung Tahan, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz dibawa turun daripada helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendarat di Padang Dataran Residen, Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Hasrat seorang pendaki untuk menamatkan ekspedisi mendaki Gunung Tahan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun dari puncak itu di Kem Kor kira-kira 13 kilometer dengan lokasi penamat Kuala Juram, Merapoh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian di Kem Kor pada pukul 8 pagi ini, mangsa yang juga seorang peniaga, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari dipercayai kehabisan tenaga dan lemah, manakala mengalami cirit-birit selama dua hari.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis Balai Polis Merapoh menerima maklumat daripada Bomba dan Penyelamat Lipis tentang seorang pendaki mengalami kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

“Siasatan polis mendapati kumpulan pendaki terdiri daripada 12 orang, iaitu semua lelaki daripada Selangor yang dipandu arah oleh dua orang malim gunung ketika mula dan perjalanan turun ke Kuala Juram daripada puncak Tahan.

“Mereka mula mendaki pada 12 Mac lalu dan dijangka pulang dan tiba sampai di Kuala Juram pada 16 Mac (hari ini). Semasa dalam perjalanan turun kira-kira 13 kilometer dengan Kuala Juram, mangsa, Raja Azlan Shah telah hilang tenaga dan lemah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, malim gunung melaporkan keadaan mangsa mengalami cirit birit selama dua hari dan tidak makan sehingga dia begitu lemah.

Katanya, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah memohon bantuan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan menyelamat dan membawa turun mangsa yang disahkan meninggal dunia ke Hospital Lipis.

“Operasi menyelamat dan membawa turun mangsa membabitkan seramai tiga orang pegawai, sembilan anggota yang terdiri daripada PDRM, Bomba dan Penyelamat Lipis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua orang malim gunung.

“Jenazah mangsa dibawa dengan helikopter dan mendarat di padang Dataran Residen, bandar Kuala Lipis dan dibawa ke Hospital Lipis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN