KOTA KINABALU: Kelulusan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti politik rasmi pada Jumaat lalu mewujudkan satu lagi jajaran politik baharu di negeri ini.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan politik yang berdaftar secara rasmi itu akan digunakan untuk terus berjuang membangunkan negeri Sabah seperti yang dilakukan sekarang.
“GRS sudah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Jumaat lalu, jadi ini satu perkembangan yang amat bersejarah kerana satu jajaran politik baharu diwujudkan di Sabah.
“Kita harap dengan pendaftaran ini, kita akan dapat menyatupadukan lagi parti-parti politik yang ada di Sabah, yang berminat bersama-sama berjuang dalam GRS,” katanya selepas melancarkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.
Ketua Menteri itu berkata, beliau sudah menghantar permohonan pendaftaran GRS beberapa minggu lalu dan beliau amat menghargai keputusan ROS kerana meluluskan pendaftaran gabungan parti politik berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, jajaran politik baharu ini amat sesuai dengan keadaan politik Sabah pada hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pendaftaran GRS dilakukan bagi menyahut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah dan rasmi sebagai gabungan parti-parti politik di Sabah.
“Hasrat kita ialah melihat Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan kita.
“Tiada masa lebih sesuai selain sekarang jadi, marilah kita menghapuskan politik negatif dan remeh temeh. Berbekalkan sumber dan kekuatan yang ada, marilah kita sama-sama menjunjung mandat yang rakyat berikan kepada kita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu demi kemakmuran negeri Sabah ,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, beliau menyambut baik hasrat parti KDM yang diketuai Datuk Peter Anthony untuk bersama-sama menyertai GRS maka, beliau akan membawa permohonan itu untuk pertimbangan dan persetujuan rakan-rakan komponen lain dalam GRS.
GRS merupakan gabungan politik yang dianggotai oleh komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).- UTUSAN