Penangguhan RUU Anti Lompat Parti bertentangan semangat MoU - Utusan Malaysia

Penangguhan RUU Anti Lompat Parti bertentangan semangat MoU

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti disifatkan bertentangan dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, tindakan menangguhkan pembentangan RUU itu bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada bulan lalu.

Madius berkata, keputusan sepihak untuk menangguhkan pembentangan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dan kerisauan mengenai nasib RUU itu.

“Mengapa keputusan penangguhan ini dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh? Benarkan seluruh Kabinet tidak bersetuju dengan kandungan RUU ini. Apakah Kabinet kepimpinan Perdana Menteri tidak bersetuju dari awal lagi atau membuat pusingan mengenai perkara ini?

“Peruntukan mana yang menjadi halangan kepada Kabinet daripada meneruskan pembentangan RUU ini dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa agar Wan Junaidi dan Perdana Menteri dapat memberi jawapan yang jelas mengenai keputusan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, beliau bimbang rakyat akan hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan juga PH, yang menandatangani MoU sekiranya pembentangan RUU itu tidak dilakukan.

“Sebagai pihak yang menandatangani MoU dengan Perdana Menteri, kami selaku pimpinan PH bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjawab isu ini. Justeru, kita tiada pilihan melainkan meneruskan keputusan membentangkan RUU ini pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung,” katanya.

Mengulas lanjut, Madius mencadangkan sidang Parlimen disambung untuk tujuan perbahasan dan kelulusan RUU Anti Lompat Parti tersebut.

“Kita boleh melakukan penambahbaikan selepas RUU itu dikuatkuasakan. Kami bimbang sikap berdolak-dalik ini tidak akan membantu merealisasikan usaha mewujudkan sebuah akta bagi menghapuskan budaya lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya