Pembelaan Rosmah hanya omong kosong

Pembelaan Rosmah hanya omong kosong

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembelaan bekas Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar di Sarawak gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan hanyalah omongan kosong.

Sebaliknya, sikap yang ditunjukkan semasa perbicaraan peringkat bela diri, jelas menunjukkan sikap Rosmah yang suka menguasai orang lain.

Menurut hujahan pihak pendakwaan yang difailkan pada 4 Mac lalu, melalui cara Rosmah memberikan jawapan pada sesi soal balas adalah tidak mustahil bahawa wanita terbabit telah mengarahkan bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor untuk meminta rasuah bagi pihaknya.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 April ini untuk pendengaran hujahan pihak-pihak terlibat dalam perbicaraan kes itu pada 5 April ini.

“Melalui tingkah lakunya, ia boleh menimbulkan satu syak bahawa gambaran yang dinyatakan oleh saksi pendakwaan (SP) ke-21 (Rizal) mengenai tertuduh (Rosmah) adalah betul. Melihat kepada cara beliau menjawab pada sesi soal balas, adalah tidak boleh disangkal lagi tertuduh telah mengarahkan SP21 untuk meminta rasuah bagi pihaknya dan beliau memang menerima wang tersebut.

“Mungkin cara terbaik untuk menggambarkan tertuduh ialah seseorang yang tidak boleh dibantah permintaannya. Jika dibantah, buruk padahnya,” ujar dokumen yang dilihat oleh media hari ini.

Selain itu, pihak pendakwaan dalam hujahannya itu mengakui bahawa Rosmah bukanlah seorang yang bodoh sebagaimana yang dinyatakan wanita itu ketika memberi keterangan di mahkamah.

“Kenyataan itu (bukan bodoh) adalah tepat kerana beliau bukanlah seorang yang bodoh kerana telah menggunakan SP21 untuk meminta rasuah bagi pihaknya. Beliau terlalu bijak dan licik untuk meminta rasuah secara terang-terangan.

“Atas alasan-alasan berikut dan beberapa alasan lain, tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan atas keterangan yang diberikan oleh SP21,” kata pihak pendakwaan. 

Menyentuh isu motif, pihak pendakwaan menyatakan, dakwaan Rosmah bahawa tiga orang saksi pendakwaan iaitu SP16, Rayyan Radzwill; SP17, Saidi Abang Samsudin dan Rizal berkonspirasi untuk mengenakannya adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Kenapa SP16, SP17 dan SP21 hendak berkonspirasi untuk mengenakan tertuduh? Tertuduh menyatakan bahawa kesemua saksi ini telah melakukan kesalahan dan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang, kesemua saksi ini telah menuding jari kepadanya.

“Melihat kepada segala sudut kemungkinan, ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Tiada sebarang alasan untuk SP16 dan SP17 untuk mereka-reka cerita untuk mengenakan tertuduh. Oleh itu, pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen meminta suapan melangkaui keraguan munasabah,” kata pendakwaan.

Rayyan merupakan rakan niaga kepada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan syarikat Jepak Holdings yang mendapat Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kesemua kes itu diperintahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perbicaraan 5 Februari 2020.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Seramai 23 saksi pendakwaan dipanggil membela diri manakala pembelaan hanya memanggil dua orang saksi termasuk Rosmah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya