KOTA KINABALU: Parti-parti pembangkang perlu bersatu dalam satu gabungan yang mantap jika ingin mengalahkan pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, parti-parti pembangkang perlu mengenepikan ego masing-masing sekiranya ingin menyelamatkan dan meletakkan negara ke landasan yang betul.
“Hanya dengan kerjasama dan kesatuan blok pembangkang mampu menjatuhkan pemimpin yang terlibat dalam kluster mahkahmah kerana ada antara mereka didapati bersalah dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.
“Maka, pemimpin parti-parti pembangkang harus ada kesatuan yang utuh kerana inilah yang dikehendaki oleh rakyat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO di Telupid, hari ini.
Felix berkata, berdasarkan keputusan PRN Johor dan Melaka, jika ada kesatuan parti-parti politik yang menentang UMNO/BN, mereka sememangnya boleh ditewaskan.
“Pihak pembangkang harus bergerak dan berjuang dengan matlamat dan misi yang sama.
“Perpecahan hanya akan merugikan semua pihak dan boleh mengakibatkan masa depan negara menjadi malap,” katanya.
Menurut beliau, hanya di Malaysia sahaja pemimpin yang sudah didapati bersalah masih bebas dan menerima banyak keistimewaan. Keadaan itu menyebabkan syarikat-syarikat gergasi hilang keyakinan dan meningggalkan negara ini.
Mengulas lanjut katanya, kestabilan politik dalam sesebuah kerajaan amat penting bagi menarik lebih ramai pelabur serta melancarkan projek-projek pembangunan dan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
Jelas beliau, sebagai pembangkang, UPKO mempunyai peranan yang sangat penting sebagai semak dan imbang kepada kerajaan hari ini. Malah, UPKO juga komited untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.- UTUSAN