KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga mengorbankan empat sekeluarga dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), bulan lalu.
Aliff Ashraf Abu, 27, yang hadir memakai pendakap leher meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu Toyota Hilux didakwa memandu kenderaan tersebut dengan melulu atau kelajuan merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian P. Milan Damani, 32, C.Tinisha, 31, Rihaan Ivaan Damani, 4, dan Ishaan Ivaan Damani, 3.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini pukul 11.20 pagi pada 27 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzat Hasizan memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
“Ini merupakan kali pertama tertuduh dihadapkan ke mahkamah dan semasa kejadian tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 28 April ini untuk sebutan kes.
Pada 27 Februari lalu, media melaporkan polis menahan pemandu pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd. Salleh, berkata lelaki itu kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas cedera ringan akibat kemalangan tersebut.
Menurut polis, pemandu yang bekerja sebagai mekanik itu akan ditahan selepas menerima rawatan dan ujian saringan air kencing dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Terdahulu dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, siasatan mendapati kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dari arah Jalan Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.
Menurutnya, kenderaan tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga dan disahkan maut di tempat kejadian. – UTUSAN