KAMPAR: Seorang pemandu lori terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer 306, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 28 tahun yang memandu lori muatan batu kapur itu bagaimanapun cedera di bahagian kaki dan dada.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedudukan lori yang dipandu mangsa dari Ipoh menghala ke arah Kuala Lumpur.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, lori itu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu cedera di kaki dan dada. Mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10LN 166/59) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas,” katanya. – UTUSAN