Pemandu lori hadapi dua tuduhan memandu secara berbahaya - Utusan Malaysia

Pemandu lori hadapi dua tuduhan memandu secara berbahaya

MUHAMMAD Ariff Abdullah (kiri) yang dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berbeza di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada pukul 2.40 petang, Isnin lalu.

Tertuduh Muhammad Ariff Abdullah, 28, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya itu dan minta dibicarakan.

Di Mahkamah Majistret 1, Muhammad Ariff yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Pertuduhan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Khairul Azreem Mamat di depan Majistret, Fazlina Musa.

Di Mahkamah Majistret 2, anak keempat daripada enam beradik itu kemudiannya dituduh memandu lori tersebut secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Mohamad Amirul Ismail, 28.

Pertuduhan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Hamizah Mat Shah di hadapan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim.

Tertuduh diwakili peguam, Siti Haslina Hasbullah bagi berdepan kedua-dua kes tersebut.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Majistret Fazlina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin, manakala Majistret Nadhirah pula menetapkan kadar jaminan sebanyak RM8,000 dengan tertuduh diarahkan untuk melaporkan diri di balai terdekat, sebulan sekali.

Tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes tersebut ditetapkan pada 28 Mac ini sementara menunggu laporan bedah siasat dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Pada Isnin lalu, seramai sembilan penunggang motosikal dirempuh oleh sebuah lori ketika mereka berteduh dari hujan lebat di bawah sebuah jejambat.

Dua daripada mangsa maut dalam kejadian itu manakala tujuh yang lain turut mengalami kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya