Pelantikan MB Johor langgar amalan demokrasi - Hassan

Pelantikan MB Johor langgar amalan demokrasi – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor jelas menunjukkan pelanggaran terhadap amalan demokrasi berparlimen di negara ini kerana rakyat memberi mandat besar memilih Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum ini adalah pilihan raya umum untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat.

“Rakyat Johor telah memberi mandat yang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat yang akan dipimpin oleh seorang calon Menteri Besar yang telah dinamakan secara tersurat dan tersirat sepanjang kempen PRN.

“Tetapi selepas menang besar, pihak sultan tidak memilih calon pilihan majoriti rakyat itu sebagai Menteri Besar Johor, sebaliknya memilih calon lain yang bukan pilihan rakyat Johor. Ini jelas bermakna calon Menteri Besar pilihan rakyat ditolak oleh pihak istana,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hassan berkata, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku dalam demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara di negara ini.

Mengulas mengenai akuan bersumpah (SD) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor yang memilih Hasni, kata Hassan, pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar boleh dicabar.

“Pelantikan itu boleh dicabar dengan kemukakan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar yang baharu ini. Perlu ada undian belah bagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sama ada Menteri Besar baharu ini ada majoriti atau tidak dalam DUN,” ujarnya. 

Sementara itu, UMNO Pusat dan Johor perlu menjawab kepada rakyat setelah mandat yang diberikan kepada BN dikhianati setelah Hasni tidak dilantik menjadi Menteri Besar.

“Pertamanya, parti dilihat menyanggah mandat rakyat setelah calon tunggal Menteri Besar yang dicanang-canang sepanjang kempen disisihkan dan calon lain (dipilih). BN perlu memenuhi janji mereka kepada Hasni yang telah membantu memenangkan parti pada PRN Johor sebagai poster boy parti berkenaan. 

“Keduanya, sebagai sebuah kerajaan yang besar dan maju, jawatan Menteri Besar Johor bukanlah sebarang jawatan yang boleh dipegang oleh seorang yang amatur dan tidak pernah teruji.

“Menteri Besar adalah jawatan yang memegang banyak portfolio lain seperti tanah, galian dan kewangan, mestilah seorang yang bukan boleh ‘dicucuk hidungnya’. Orang itu mestilah yang pentingkan rakyat melebihi yang lain. Rakyat mahukan pemerintahan yang telus, bagaimana ini hendak diharapkan kepada individu yang tidak ada pengalaman, jawatan dan tak tegas,” katanya.

Tambah beliau, sebagai pembangkang, mereka menerima dengan terbuka keputusan rakyat yang memilih BN dan ‘poster boy’ sebagai Menteri Besar yang baharu. 

Namun, pemilihan Onn Hafiz menampakkan kepincangan dalam urusan itu dan tidak menghormati serta mempermain suara rakyat yang memberi kepercayaan kepada Hasni untuk terus mentadbir Johor.  

“Lain orang yang bersusah payah, lain pula orang yang mendapat jawatan, orang yang tidak teruji pula. Saya bukan nak memuji Hasni, tetapi peluang sepatutnya diberikan kepadanya. Secara peribadi, saya nampak Hasni yang sudah diberi peluang boleh menjalankan tugas, ada perancangan terbaik untuk rakyat Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya