PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada isi rumah miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian ketua isi rumah melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap isi rumah akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.
Beliau berkata, inisiatif itu hasil persetujuan menerusi mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) dengan mengambil beberapa pendekatan dan mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi Keluarga Malaysia.
Menurut beliau, MySPC pada hari ini melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian atau agensi.
Katanya, ia mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian atau agensi terlibat.
“PDPS ini akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.
“Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan membantu untuk memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang 2025 sebagaimana dihasratkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Perdana Menteri berkata, antara pendekatan lain yang dicapai menerusi mesyuarat berkenaan ialah memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.
Selain itu, kata beliau, tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia ditingkatkan dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada Ketua Isi Rumah Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.
Jelas beliau, Malaysia Productivity Corporation (MPC) pula diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti.
“Selepas dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, Malaysia kini sedang menuju fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini. Pandemik mengakibatkan ekonomi negara terjejas, perniagaan tidak dapat beroperasi sebaiknya, ramai kehilangan pekerjaan hingga menyebabkan ada yang terjerumus dalam kelompok kemiskinan.
“Pandemik Covid-19 menyedarkan semua pihak tentang kelemahan sistem perlindungan sosial kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN