Pelan komprehensif keselamatan pertahanan di bentang ke Kabinet - Utusan Malaysia

Pelan komprehensif keselamatan pertahanan di bentang ke Kabinet

HAMZAH Zainudin mengiringi Hishammuddin Tun Hussein melakukan ‘walkabout’ bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri meninjau lokasi pameran dan persidangan Defence Service Asia (DSA) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan komprehensif strategi pertahanan dan keselamatan dalam negara akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelan tersebut yang dirangka khusus secara bersama Kementerian Pertahanan akan memperincikan isu berkaitan untuk tempoh jangka masa panjang.

Katanya, antara perkara yang akan dimasukkan dalam pelan tersebut termasuklah kawalan sempadan dan keselamatan maritim untuk ditangani secara bersama membabitkan kedua-dua kementerian.

“Kita tidak boleh serahkan tanggungjawab kepada satu kementerian dan ia sepatutnya perlu bergabung tenaga dan kerjasama dengan lebih padu. Sebagai contoh anda boleh lihat Op Benteng yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu. Ia telah membuktikan kejayaan gabungan padu kedua-dua kementerian dalam penguatkuasaan keselamatan negara.

“Untuk memantapkan pertahanan sempadan negara, kita perlu semua pihak bekerjasama dan itu motif sebenar kita akan hasilkan satu pelan komprehensif  untuk sempadan, pertahanan dan keselamatan dalaman kita,” katanya selepas meninjau persiapan terakhir penganjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2022  (DSA 2022) dan Perkhidmatan Keselamatan Asia NATSEC 2022 di Pusat Pameran  dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dijangka 25,000 pengunjung dari lebih 50 negara mengambil bahagian dalam pameran yang bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Selain itu, kira-kira 4,800 pelawat antarabangsa yang terdiri daripada pakar, pempamer, perwakilan, pegawai kerajaan dan pemain industri dijangka turut terlibat.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disusun dan ditambah baik semula menerusi satu pertemuan khas pada DSA 2022 dan NATSEC 2022  yang bermula hari ini.

Menurutnya, pertemuan tersebut  akan melibatkan rakan sejawatnya, Prabowo Subianto dan Delfin Lorenzana.

Katanya, beliau dan kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perkara khusus berkaitan keselamatan maritim kawalan sempadan dan juga isu pengganas di kawasan terlibat serta ancaman yang dihadapi secara bersama.

“Ini adalah satu permulaan yang baik dalam aspek geopolitik kita dan dalam masa yang sama untuk berdepan ancaman membabitkan ketiga-tiga negara.

“Kita juga akan berbincang mengenai keselamatan di Laut Sulu dan pertemuan ini akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya