Pelajar temu duga atas talian diterima masuk UPSI

Pelajar temu duga atas talian diterima masuk UPSI

FRANK Steward Anak Sa (tengah) bersama ibu bapanya pada majlis penyerahan surat tawaran memasuki UPSI di PPD Betong, Sarawak, hari ini. - FOTO/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang pelajar di Betong Sarawak, Frank Steward Anak Sa yang terpaksa mendaki bukit untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara atas talian, diterima masuk UPSI.

Surat tawaran dari UPSI untuk Frank Steward melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) bagi sesi 2022/2023 bermula Mac ini disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, Sarawak hari ini. 

Hadir sama menyaksikan penyerahan surat tawaran itu ialah Timbalan PPD Sektor Pembangunan, Azmi Abdullah; Pengarah Akademik, Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Razalli dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril. 

Dalam kenyataannya, UPSI berkata, Frank Steward, 21, yang tinggal di Betong, Sarawak melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kerana merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti pendidikan itu. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine Betong, Sarawak itu melahirkan kegembiraan diterima menjadi pelajar UPSI dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. 

“Saya berharap dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menjadi pendidik yang berjasa untuk negara,” kata kenyataan UPSI itu.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff mengucapkan tahniah kepada Frank Steward yang memilih UPSI sebagai destinasi pengajian peringkat ijazah pertamanya.

“Saya berharap dia dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Tawaran ini memberi peluang untuk Frank Steward menjadi pendidik yang akan kembali berkhidmat di negeri kelahiran sekaligus dapat membantu mengubah nasib dan masa depan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norkhalid berkata, UPSI sangat memahami dan bersimpati dengan masalah calon yang memohon memasuki UPSI namun menghadapi masalah capaian internet seperti yang dialami Frank Steward. 

“Berbanding sebelum negara dilanda Covid-19, semua temuduga diadakan secara bertulis dan bersemuka namun berubah kepada secara atas talian termasuk sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sejak Covid-19 melanda,” katanya. 

Pengorbanan ayah Frank Steward yang mendirikan khemah di kawasan berbukit agar mendapat capaian internet bagi membolehkan anaknya menjalani temu duga secara atas talian, tular dalam media sosial.

Bapanya, Sa anak Ujom, 52, seorang petani sanggup meredah jalan balak yang memakan masa dua jam perjalanan untuk mendirikan khemah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya