KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri‘ didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berkaitan pelaburan saham Planetrade melibatkan lebih RM2 juta.
Bagaimanapun Kyairul Syahirin Ahmad, 46, mengaku tidak bersalah selepas 12 pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Datin Sabariah Othman. Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-12 Kyairul didakwa menipu 10 wanita dan dua lelaki, dengan mempercayai bahawa tertuduh akan menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.
Ia mendorong mangsa-mangsa memindahkan sejumlah RM2.2 juta ke akaun bank syarikat milik tertuduh antaranya Planemax Essentials Sdn. Bhd., Planetrade Holdings Sdn. Bhd. Planeworld Flexi Sdn. Bhd. Planetrade Premier Sdn. Bhd. yang mana mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Intisari, Desa Park City antara 2 Februari dan 28 November 2021. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan wanita, Rozana Mohamed, 54, turut mengaku tidak bersalah di dua mahkamah sama atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul berhubung pelaburan dan nilai sama di lokasi serta tarikh serupa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 420 yang memperuntukkan hukuman sama. Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd. Apandi dan Nur Aqilah Ishak manakala Kyairul dan Rozana masing-masing diwakili Ashok Atimulan dan Arik Zakri Abdul Karim.
Mahkamah kemudian membenarkan Kyairul diikat jamin sebanyak RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh-tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah kemudian menetapkan 15 April dan 3 Mei ini bagi sebutan kes.
Pada 4 Mac lalu, media melaporkan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang disyaki dalang utama ditahan bersama lapan individu lain bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan saham pelaburan Planetrade (Plan E Investment) membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada 1 Mac lalu.
Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 46 tahun itu disyaki dalang utama di sebalik skim penipuan pelaburan dan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu. Polis turut merampas enam buah kenderaan mewah iaitu sebuah Bentley, Toyota Vellfire (2), sebuah Mercedes Benz GLC 200, sebuah BMW X4, sebuah Ford Ranger dan pelbagai barangan lain.
Terdahulu, media mendedahkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ menjerat lebih ramai pelabur menyertai skim pelaburan saham dengan menampilkan perwatakan menarik dan warak. ‘Datuk Seri’ berkenaan turut menyediakan bunga serta coklat selain layanan terbaik kepada setiap pelabur yang datang ke pejabatnya yang terletak di Desa City Park, Sentul di sini. – UTUSAN