PUTRAJAYA: Kemasukan pekerja warga asing dijangka bermula bulan depan selaras pembukaan sempadan negara tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang diwartakan pada 19 November tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini termasuk dari aspek kuarantin dan sebarang perubahan kepada SOP akan dimaklumkan kelak.
Beliau pada masa sama menegaskan, semua aspek pengambilan pekerja asing dari negara sumber menggunakan sistem sedia ada iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) sebagaimana dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 November tahun lalu.
“Malah, platfom FWCMS juga akan digunakan bagi tujuan pemantauan pekerja asing yang tiba di Malaysia selaras dengan SOP Kemasukan Pekerja Asing bagi semua sektor.
“Kementerian ini bertanggungjawab dalam kemasukan pekerja asing untuk semua sektor ke negara ini termasuk aspek kuarantin, namun aspek kemasukan seperti pematuhan kepada syarat-syarat Jabatan Imigresen berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbincangan
Saravanan berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan lebih awal dengan semua kementerian dan agensi berkaitan mengenai penyelarasan kuarantin pekerja asing, sebelum tarikh permohonan penggajian pekerja asing dibuka pada 28 Januari lalu.
Katanya, ini termasuk lawatan tapak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) serta mencadangkan bahawa pusat kuarantin hanya dihadkan di sekitar Lembah Klang pada peringkat permulaan mengikut SOP Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, pusat-pusat kuarantin ini sudah dikenal pasti serta bersedia menerima pekerja warga asing yang akan menjalani kuarantin mengikut piawaian kementerian.
“Ini juga selaras dengan pengumuman saya terdahulu di mana majikan boleh membuat permohonan tempahan slot kuarantin pekerja asing menerusi laman web www.fwcms.com.my, setelah pekerja warga asing lulus pemeriksaan kesihatan dan dikeluarkan Visa Dengan Rujukan (VDR),” katanya.
Beliau berkata, pekerja warga asing juga perlu mengikuti latihan induksi selama 48 jam selepas ketibaan di Malaysia yang akan dilaksanakan HRD Corporation, salah satu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Katanya, keperluan itu bagi memberikan penjelasan kepada pekerja warga asing yang baru tiba berhubung hak-hak perburuhan dan mekanisme aduan aspek perburuhan yang diwujudkan kementerian iaitu aplikasi Working for Workers.
Perincian mekanisme pelaksanaan bagi latihan induksi itu, katanya, akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN