PAU tiada kuasa bubar Parlimen - Utusan Malaysia

PAU tiada kuasa bubar Parlimen

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mahupun Presiden parti berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana Kerajaan Persekutuan sekarang bukan kerajaan mutlak UMNO walaupun Perdana Menteri merupakan ahli daripada parti tersebut.

“Kerajaan Persekutuan sekarang adalah sebuah kerajaan campuran, Ahli Parlimen UMNO sekitar 40 orang manakala Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain mempunyai ahli Parlimen lebih ramai 70 orang.

“Jadi soal pembubaran Parlimen perlu dibincang dalam Kabinet, bukan dalam PAU. Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada kuasa untuk bubarkan Parlimen pada bila-bila masa?

“Jawapannya beliau tidak ada kuasa demikian. Tangan Perdana Menteri terikat dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan bahawa Parlimen Malaysia Ke-14 tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kini adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih parti yang mentadbir negara.

Ahmad Zahid berkata, gesaan itu selaras dengan kehendak akar umbi parti berkenaan yang mahu pilihan raya dilakukan bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil pada masa akan datang.

Sementara itu, Hassan turut memberitahu, jika Perdana Menteri tunduk kepada Presiden UMNO atau PAU dan membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai ini, itu bermakna beliau telah memungkiri perjanjiannya dengan PH yang ditandatangani pada 13 September lalu.

“Yang di-Pertuan Agong menerusi titah dirajanya dalam majlis pembukaan Parlimen pada 28 Februari lalu telah memuji MoU ditandatangani kerajaan dengan parti pembangkang kerana telah membawa kestabilan politik negara.

“Walaupun tidak dinafi UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri masih ada kuasa politik walaupun terbatas untuk menentukan bila Parlimen mahu dibubarkan, tetapi pihak yang benar ada kuasa hampir mutlak untuk memutuskan sama ada bersetuju Parlimen dibubarkan atau tidak ialah Agong seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah Hassan, walaupun Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 40(2)(b) dinyatakan bahawa Seri Paduka boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsinya untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

“Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan budi bicara dalam soal pembubaran Parlimen. Perkara berkenaan isu pembubaran Parlimen tentu amat diketahui dan difahami Ismail Sabri, Ahmad Zahid dan semua perwakilan UMNO yang sedang bersidang dalam PAU sekarang ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya