KUALA LUMPUR: Wanita berharap trend pencalonan untuk mereka akan terus dipertingkat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini kerana kemenangan telah berjaya dibuktikan di dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kesemua calon yang diletakkan menang dengan jayanya.
“Dalam PRU-14, calon wanita Barisan Nasional hanya mewakili 11.7 peratus daripada keseluruhan calon yang ditampilkan.
“Dalam PRN Melaka baru-baru ini, lima wanita telah dicalonkan berbanding hanya dua calon pada PRU-14.
“Kita berterima kasih kepada YB Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri yang memberi ruang lebih besar kepada wanita dalam PRN Johor. Inilah kali pertama Barisan Nasional meletakkan 25 peratus calon wanita.
“Wanita UMNO berharap trend pencalonan ini akan diteruskan dalam PRU akan datang. Kita telah buktikan. Apabila diberikan amanah, Wanita UMNO mampu memberikan kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan dasar sayap Wanita Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Katanya, dengan trend penyertaan wanita kali ini dalam PRU-15, ia sudah tentu akan menjadi pembakar semangat untuk menambah baik gerak kerja kita pada pilihan raya nanti.