KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah mahu kepimpinan tertinggi UMNO menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula esok.
Ketuanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, tarikh PRU perlu ditentukan segera sebelum pemilihan parti dilakukan bagi mengelakkan perpecahan dan kekuatan jentera UMNO terhakis akibat perebutan jawatan sama ada di peringkat pusat sehingga cawangan parti.
“Secara peribadi saya berpendapat Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh dilaksanakan dengan syarat UMNO dan komponen parti Barisan Nasional (BN) kuat dari segala segi di seluruh negara.
“Ia kerana kita sudah berpengalaman dan telah melalui pelbagai siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).
“Pemuda UMNO Sabah juga menyokong kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti serta meningkatkan perpaduan sesama ahli agar lebih bersedia menghadapi PRU15,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz berkata, keutamaan untuk mempersiapsiagakan parti perlu diberikan kerana ia adalah kunci kepada kemenangan BN pada PRU15 kelak.
“Andainya ini dilakukan, saya percaya siapa pun calon yang diletakkan pasti mampu menyumbang kerusi kepada BN,” katanya. – UTUSAN