KUALA LUMPUR: UMNO perlu mencadangkan masa yang sesuai kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen, sekali gus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh diadakan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun ia perlu mengambil kira memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang membolehkan PRU diadakan selepas Julai 2022.
“Wanita UMNO sentiasa bersedia pada bila-bila masa bila sampai pada waktunya. Kita juga perlu ambil kira kesepakatan dan persefahaman, kestabilan politik MoU antara blok kerajaan dan pembangkang kerana keabsahannya sampai Julai 2022. Tidak lama lagi.
“Justeru, sebarang tindakan hendaklah dibuat secara berhemah. Wanita percaya Majlis Kerja Tertinggi akan buat keputusan terbaik dengan mencadangkan masa yang sesuai kepada Perdana Menteri selaras dengan peruntukan perlembagaan,” katanya dalam ucapan dasar sayap Wanita Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam pada itu, Noraini turut berkata yang Wanita sentiasa bersedia menghadapi ‘peperangan’ PRU15 bagi menebus kekalahan pada PRU14.
“Wanita UMNO always ready, insya-Allah Wanita bersama jentera BN akan berganding bahu. Sederap kita melangkah, berkongski aspirasi,” katanya. – UTUSAN