KUALA LUMPUR: UMNO bersifat holistik kerana sentiasa mengetengahkan kaum wanita serta golongan muda malah menerima kumpulan itu untuk menjadi pembuat dasar serta terlibat dalam kepimpinan utama negara.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan berkata, UMNO telah terbukti diterima oleh golongan muda selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang merupakan pilihan raya pertama selepas pelaksanaan Undi18.
“Kita ucap terima kasih kepada pucuk pimpinan parti. Kita sedar orang muda sangat susah untuk mendapat tempat tapi hanya parti yang berjiwa besar dapat membuktikan orang muda tidak perlu ada parti khas untuk orang muda atau parti lain yang dikatakan berjiwa muda.
“Kita parti UMNO walaupun merupakan parti yang tertua berjaya memberi tempat kepada orang muda dan kaum hawa untuk bersama dalam saf kepimpinan dan pembuat keputusan negara.
“PRN Johor adalah menguji sokongan anak muda kepada UMNO. Ini pertama kali Undi18 dilaksanakan dan keputusan membuktikan kita diterima,” jelasnya dalam ucapan dasar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Tambahnya, Barisan Nasional (BN) di Johor menunjukkan parti itu diterima pelbagai lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama.
“UMNO kembali kuat di Johor maknanya UMNO kembali kuat di seluruh negara. Menang di Johor maknanya kita kuat di semua tempat.
“Nikmat manis ini kerana perang politik baru menuntut kesepakatan, keseragaman dan kesatuan serta pengorbanan yang paling besar,” katanya. – UTUSAN