KUALA LUMPUR: Tiada lagi gerakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seperti yang dihebahkan selepas tamatnya Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebelum ini.
Menjelaskan perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia hanyalah sejarah lama, namun masih berpegang kepada prinsip sama iaitu ‘No Anwar, No DAP’.
“Itu satu sejarah yang telah berlaku yang pada pandangan saya, boleh kita sebut sejarah tetap sejarah, sekarang ini perlu mencari jalan kesepaduan sebab kita lihat antara gerakan yang hebat pada waktu itu adalah kita tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri.
“Sekarang tidak ada (gerakan menyokong Anwar), kita bersama,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pada PAU 2020, UMNO berpendirian parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, tidak ada perbincangan berkaitan dengan mana-mana parti berkenaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Bagaimanapun, sejurus selepas tamat PAU 2020, panggilan telefon yang didakwa antara Ahmad Zahid dan Anwar tersebar di mana Presiden PKR itu dikatakan memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO menerusi panggilan telefon.
Bagaimanapun, ia dinafikan Ahmad Zahid tentang perkara itu.
Mengulas lanjut, Shahidan turut berkata, barisan UMNO kali ini lebih mantap dan yakin parti itu masih berpegang kepada prinsip ‘No Anwar No DAP’ seperti sebelum ini.