KUALA LUMPUR: UMNO Melaka hari ini memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan bagi membincangkan soal Pilihan Raya Umum (PRU) dan pemilihan parti.
Wakil UMNO Melaka, Datuk Mustafa Musa berkata, semua pihak perlu terserah kepada pimpinan parti untuk membincangkan soal tersebut apatah lagi Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di dalam lima pemimpin utama.
“UMNO Melaka memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat keputusan PRU-15 dan bincanglah elok-elok ‘top 5’.
“Jangan ada dusta antara kita. Jangan ada batu api pengadu domba. Hentikanlah kerana tindakan tidak bermaruah ini hanya akan melemahkan parti.
“Beri kepercayaan kepada ‘top 5’ dan di dalamnya ada Perdana Menteri bincanglah dengan penuh kasih sayang. Elakkan mementingkan diri sendiri dan adu domba sesama kita,” katanya sebagai pencadang usul ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.
Kata beliau, UMNO Melaka berhasrat agar pemilihan diadakan selepas pilihan raya bagi memastikan kelancaran perjalanan jentera dan sebagainya.
“Kalau positif Covid ia tujuh hari tetapi pemilihan parti parut tetap ada. Apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya banyak hati yang terguris. Bukan setakat itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya rombakan struktur dan tiba-tiba pilihan raya dipanggil keadaan akan jadi haru-biru.
“Cukup masanya bertandinglah. Pemilihan parti mestilah diadakan selepas pilihan raya dan jangan kompromi. Ikut keputusan parti,” jelasnya. – UTUSAN