KUALA LUMPUR: Seluruh perwakilan Pemuda UMNO senada dan bersetuju agar mandat rakyat dikembalikan sekiranya pilihan raya umum (PRU) dapat dilakukan pada masa terdekat.
Gema seruan tersebut dizahirkan oleh 971 perwakilan yang memenuhi Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) d sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyeru kepada barisan Pemuda untuk bersedia kerana gendang perang bakal berbunyi atau pilihan raya akan ditempuhi tidak lama lagi dengan mengerah sepenuh tenaga tanpa alasan daripada terpaksa bergenang air mata sekali lagi
“Wahai seluruh generasi Pemuda Bangkit Kembali. Kita telah bersama dari satu pertempuran ke satu pertempuran. Kita hadapi bersama cabaran demi cabaran. Kita takkan sesekali mengalah apabila telah melangkah. Kita berikrar dan berjanji untuk terus memperkasa dan memenangkan wadah.
“Wahai pemuda teras kebangkitan, adakah kita bersedia memikul amanah parti andai diseru hari ini (pilihan raya)? Adakah kita rela berkorban jika gendang dipalu hari ini? Adakah kita sanggup berjuang jiwa dan raga andai Parlimen dibubar hari ini?
“Adakah kita bersetuju mandat rakyat dikembali pada hari ini? Setuju (balas perwakilan). Jadi Ayuh Pemuda bangkitlah kita bersedia bersama-sama,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2021 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.