[PAU 2021] PRU-15: UMNO berhak nyatakan pandangan sebagai peneraju kerajaan - Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

[PAU 2021] PRU-15: UMNO berhak nyatakan pandangan sebagai peneraju kerajaan – Asyraf Wajdi

umno
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan partinya berhak menyatakan pandangan mengenai pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, kewajaran itu bersandarkan kepada kedudukan UMNO yang kini menerajui kerajaan menerusi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.

“Kita menghormati kuasa mutlak di bawah Yang di-Pertuan Agong sama ada baginda bersetuju untuk perkenan pembubaran Parlimen tetapi Kabinet ada kuasa menasihati Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

“Agong juga mempunyai kuasa untuk menolak untuk dinasihati bagi mengadakan pembubaran Parlimen. Namun, kita juga berhak menyatakan pandangan kerana kita menerajui kerajaan, tetapi UMNO bukan gila kuasa,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, UMNO tidak wajar dianggap gila kuasa kerana majoriti parti itu sendiri menyokong PRU-15 berbanding pemilihan parti.

“Daripada 190 bahagian, hanya enam bahagian di peringkat pusat mahukan pemilihan terlebih dahulu. Di sayap pemuda, hanya satu bahagian sahaja yang mahukan pemilihan dahulu iaitu UMNO Bukit Bintang.

“Jadi, dalam UMNO ini tidak ada pandangan berbeza yang besar, sebaliknya semua bersetuju perlu serahkan mandat dan perlu adakan PRU-15. Memang satu kelompok mahu adakan PRU-15, ada satu kelompok yang mahu tentukan dahulu, tetapi isunya hanya bila, bukan tidak mahu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika pemilihan diadakan terlebih dahulu.

“Setiap kali pemilihan, ada pertembungan, ada menang ada kalah. Tetapi setiap kali pemilihan, 30 peratus kekuatan UMNO berkurangan. UMNO perlu hadapi PRU-15 kekuatan yang optimum dan sebab itu kita sepakat tangguh pemilihan, adakan PRU-15 baru adakan pemilihan. Kita tak boleh hadapi peperangan dalam keadaan tercedera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya