KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, adalah tidak wajar UMNO dilihat mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mendesak agar Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri berkata, pembubaran Parlimen serta pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) merupakan kuasa di bawah Seri Paduka.
Katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat oleh UMNO mengenai pembubaran Parlimen.
“Ini semua perlu dibincangkan dengan Agong. (Kalau) kita tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Agong kata kita ambil alih kuasa Seri Paduka. Jadi, jangan ambil alih kuasa Agong, kita tunggu.
“Apa-apa pun, kita akan bincang. Tapi saya dah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dahulu.
“(Setakat ini) Parti pun tak bincang lagi. Tunggu, bincang dalam partilah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk kepimpinan dan sayap UMNO mengesa agar PRU-15 diadakan segera selepas BN menang besar di Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka sebelum ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata, pihaknya belum menerima sebarang cadangan berkenaan hal itu, sama ada secara rasmi mahupun secara peribadi.
“Malam ini kami ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi. Segala usul sayap akan dibincangkan. Kita tengoklah,” katanya. – UTUSAN