KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mahu mengusulkan agar dilakukan pindaan perlembagaan parti supaya pemilihan kepemimpinan diadakan hanya selepas setiap kali pilihan raya umum (PRU).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.
“Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti?
“Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi. Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?
“Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti. Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri. Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2021 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.