KUALA LUMPUR: Keputusan pembangkang untuk bersetuju menandatangani memorandum persefahaman bersama kerajaan seolah-olah mempunyai muslihat tertentu untuk menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara tersembunyi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila pembangkang bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu.
Justeru tegas beliau, UMNO seharusnya sedar bahawa lawan-lawan itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti.
“Dalam legenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.
“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.
“They never love us! (Mereka tidak pernah suka kita) Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi? Kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. – UTUSAN