SEREMBAN: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan meminta pucuk kepemimpinan parti bersepakat untuk memilih tarikh yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketuanya, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, usul tersebut akan dibawa beliau sebagai jurucakap Pemuda UMNO Negeri Sembilan dalam Perhimpunan Agung Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bermula esok.
“Kami akan meminta supaya kepemimpinan atasan berbincang dan atur strategi untuk menempuh PRU-15 akan datang. Berunding sebaiknya dan terperinci kerana waktu yang sesuai dan tepat perlu dipilih.
“Ketika ini gelombang rakyat dilihat jelas kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dan ia terbukti menerusi dua pilihan raya negeri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Zaidy, pemilihan tarikh yang tepat dan sesuai adalah sangat penting supaya parti dapat merangka strategi sebaiknya.
“Jangan tersalah pilih tarikh kerana momentum sekarang sangat baik dan memihak kepada BN. Boleh kita atur strategi supaya gelombang rakyat mahu mencari kestabilan politik itu boleh diteruskan,” katanya. – UTUSAN